Thursday, September 23, 2010

Kool

Aku rasa kalau tanya mana-mana orang mesti semua orang nak jadi kool. Apa barang jadi mat belia. Mana ada awek pandang.
Jadi semua orang berlumba-lumba nak jadi kool. Tak nak jadi mat belia. Nak awek semua pandang.

Aku perasan benda ni masa aku darjah 3. Keluar surat khabar Eric Cantona sepak kungfu penyokong Crystal Palace. Semua orang nak jadi Eric Cantona. Nak jadi kool. Pakai baju sekolah kolar nak angkat walaupun rambut belah tepi pakai tali pinggang halus.

Lepas musim Cantona kawan-kawan aku semua layan 2by2 yang duet dengan Siti Nurhaliza, Budak Kacamata, E.Y.E sebab zaman tu memang musim rock nangis keluar hingus. Siapa tak layan rock nangis keluar hingus memang tak kool dan kena menganjing dalam kelas. Yang mana pergi tuisyen semua dah pasang angan-angan nak nyanyi rock nangis dengan kawan perempuan sekelas. Maklum la sekolah laki semua.



Masuk sekolah menengah orang berlumba-lumba minat Limp Bizkit. Eh setengah layan Limp Bizkit, setengah layan Backstreet Boys/N'Sync/Westlife. Bila aku masuk form 3, kepandaian rapping di kalangan kawan-kawan digunapakai untuk layan Linkin Park, Limp Bizkit tolak tepi.

Masuk zaman indie semua orang nak pegang gitar, nak ada band. Bukan 'Ada Band' Indonesia tu. Nak mempunyai band kugiran dengan member-member. Nak masuk gig. Nak pergi konsert. Search google kat mana 'Rumah Pena'.
"Apa? Hang tak pernah pi gig? Tak 'Jiwa Kosong' la hang ni"

Lepas tu musim Bukit Broga. Wajib ada gambar dengan kawan-kawan kat Bukit Broga. Kamera pulak tak layan digital kamera biasa-biasa. Wajib DSLR. Baru gambar cantik! Nama album mesti 'NIKON dxxxx', walaupun gambar sama kualiti macam gambar handset tapi siapa peduli, kan dah tulis model kamera kat situ.

Oyeah. Sekarang (sekarang ke? tapi aku baru saja perasan gelombang ni), sana sini situ sinun dalam facebook mesti ada tulis 'Jom Potluck!', 'Potluck Jom!', 'Mari Potluck!' dan sebagainya. Ataupun jenis matang sikit senyap-senyap saja tiba-tiba dah ada photo album bertajuk Potluck Goodluck~~.

Aku biasanya trend terkini masakini(mula perenggan ke-3, aku tak boleh nafikan Cantona memang kool gila dingdong) aku kurang ambik tahu sikit. Malas. Tapi penangan potluck ni betul-betul buat aku nak tahu. Manalah tau dengan main/tengok/pergi/join Potluck nasib aku bakal berubah. Oh ya aku agak bernasib malang kebelakangan ni walaupun tak semalang Dupey yang pernah pecahkan konkrit penutup longkang semasa skipping.

Tadi aku baru google apa maksud potluck (sumpah aku tak pernah tahu sebelum ni).

Abang wiki said:
A potluck is a gathering of people where each person or group of people contributes a dish of food to be shared among the group.


Aku tertunduk. Memikirkan apa dosa aku yang lepas-lepas sampaikan hari ini aku baru tahu maksud potluck.

Benda ni masa sekolah dulu aku panggil

'Jamuan Kelas 6 Sepadu'.

Tuesday, September 14, 2010

Pengalaman gua balik raya

Anak (A): Ayah, bestnya balik kampung. Boleh jumpa datuk, nenek, pak long, ayam, itik..

Bapak (B): Eh mesti la best. Tak lama lagi sampai la kita kat kampung.

A: Ayah, apa maksud papan tanda 110 km/j tu? (tuding jari ke papan tanda).

B: Tu maksudnya halaju maksimum 110 km sejam. Cuba tengok meter kereta ni. Mesti tak lebih 110.

A: Oh kalau macam tu sekarang ayah bawak 60 km/j kira boleh la?

B: Mestilah boleh. Lagipun kan kat TV ada cakap biar lambat asal selamat.

A: Lagi satu ayah, kenapa ayah asyik main brek sedangkan kereta depan jauh lagi dari kita?

B: Kita kena pastikan jarak yang selamat dengan kereta depan. Manalah tau tiba-tiba kereta depan brek emergency, kalau dah dekat sangat kan mesti tercium bontot kereta depan kan?

A: Tapi ayah, kalau polis ada dekat-dekat sini mesti ramai yang kena saman kan? Banyak sangat kereta yang potong kita dari kiri. Salah kan ayah?

B: Ehhh.. Mestilah salah memotong kat lane kiri. (sambil memandang gua tengah mengacung jari tengah sambil memotong.)


Selamat Hari Raya.

Thursday, August 26, 2010

Ribut Taufan Angin Kencang

Dulu aku pernah beli satu buku Self Improvement sebagai bahan bacaan masa lapang sambil-sambil boleh menjadi remaja yang lebih bertoleransi demi mengangkat dan menjulang gagasan 1Malaysia yang dapat melahirkan masyarakat yang menghormati orang tua dan jiran tetangga.

Tajuk buku yang aku beli tu 'How To Win Any Argument'.

Biasa la kalau dah nama bacaan ilmiah tadak maknanya nak baca laju-laju macam para peminat novel-novel imaginasi yang banyak menipu budak-budak(baca:Harry Potter).

Isi dalam dia boleh tahan la. Kalau dulu asal ada selisih faham rasa macam nak menumbuk saja hidung orang tu laju-laju tapi lepas baca buku ni aku dah boleh buat-buat kool balas cakap sampai orang hilang hujah.

Tapi aku rasa buku ni cuma boleh digunakan untuk melawan orang yang ada otak saja. Kalau orang yang tadak otak takleh pakai maa. Contohnya macam kat bawah:

Cerita 1:
Hari tu ada audit kat kilang aku. Aku bawak auditor pergi jumpa sorang manager ni. Sia-sia saja kena maki sebab 'kenapa tak call dulu'. Aku dah cuba explain tapi dia tak nak dengar. Last-last aku masih terasa nak tumbuk hidung dia laju-laju.

Cerita 2:
Aku hantar email ke manager yang sama pasal unsafe condition kat tempat kerja anak buah dia dengan harapan dia bakal berterima kasih kerana mungkin dah menyelamatkan anak buah dia dari terbunuh atau paling ringan cedera parah. Sudahnya dia call aku maki-maki kenapa hantar email kat dia. 'Tak sama level' katanya. Puas aku explain last-last aku dengar "listen, listen, why don't you send mail to Executive Director instead?". Sebab tak boleh nak tumbuk hidung dia laju-laju jari tengah saja mampu aku kirim melalui telefon.

Kesimpulannya aku menyesal gila beli buku ni. Rasa macam duit buang kat mangkuk jamban flush air kaler biru. Susah nak cari orang ada otak kat kilang aku. Haih~

Monday, August 23, 2010

Ringkas

Ustazah: Ahmad, tolong baca niat puasa.

Ahmad: Sahaja aku berpuasa esok hari kerana Allah Taala.

Ustazah: Itu tak macam yang saya ajar semalam. Kan saya ajar niat bahasa Arab? Macam mana?

Ahmad: Err.. Sahaja ana berpuasa esok hari Lillahi Taala.

Saturday, August 21, 2010

Sabtu Demokrasi

Hari ni hari Sabtu bekerja.

Maksudnya bagi aku yang kerja alternate Saturday minggu lepas aku dah cuti, minggu ni Sabtu kerja separuh hari.
Hari ni aku bangun lewat sikit pasal rasa macam malas sahur makan nasik.
Sebelum ni lepas bangun pergi dapur kalau nasik tak ada start moto terus gerak kedai mamak. Hari ni malas.

"Alah kerja Sabtu sekerat hari pun nak makan nasik. Manja gila."
"Tak mati punya sehari sahur tak makan nasik pi kerja"
Dah nama pun bangun lambat pergi dapur masak mee sedap (makanan paling ringan aku berani ambik waktu sahur).

Hari ni patutnya aku balik pukul 1 tapi ntah apa penyakit tadi buat rajin kat ofis last-last balik pukul 3 jugak.
Sampai rumah bukak peti surat ada pamplet-pamplet iklan.
Pamplet mula-mula dah Pizza Hut.
Belek punya belek tiba-tiba tengok lengan baju tengah lap mulut.

"Basah!"
Kritikal perut aku hari ni.

Friday, August 20, 2010

Mode Bulan Puasa

Bulan puasa tahun ni rutin setiap hari sama saja.
Tidur suka hati. Bangun tidur tepat 4.30 pagi.
Siap-siap makanan nak sahur. Makan.
Lepas sahur main facebook sampai pukul 7.
Elakkan tidur lepas subuh takut rezeki tak masuk.
Bila dah kat ofis kepala tingtong.
Baru pukul 9 kepala dah kat atas meja.
"Cepatlah pukul 1, boleh tidur"
Bila sampai pukul 1 bukak buku sudoku dah tak boleh tidur.
Lepas lunch hour kepala kembali atas meja.
"Cepat la pukul 5, boleh tidur"
Sampai rumah bukak pc tak jadi tidur.
"Cepatlah pukul 7.15, boleh makan lepas tu tidur"
Lepas makan tidur sesuka hati lagi.
Esoknya masih bangun pukul 4.30 pagi.

Selamat berpuasa semua, tak terlambat lagi kan?

Friday, August 6, 2010

Pengalaman Gua pergi lawatan sambil belajar.

Bukan lawatan sangat pun kalau dah nama keluar dari pagar sekolah, merayau-rayau dekat jalan kampung depan sekolah, tengok pemandangan, tengok anak dara 'suit2 rempit' lebih kurang, balik kelas lepas setengah jam. Bukan best pun tapi gua masih nak bercerita pengalaman gua.

Oh ya entri ni gua saja nak pakai 'gua-lu' supaya nampak lebih santai seperti kata Syapik Kumar walaupun gua rasa alasan tu langsung tak boleh pakai sebab santai-santai pun gua tak pasti apa pasai dia dah malas update blog. Komitmen luaskan ladang popi katanya gua pun tak pasti.

Berbalik kepada pengalaman gua tadi. Dulu masa tingkatan tiga sekolah asrama gua ada mengikuti penjelajahan di depan sekolah yang gua pun tak pasti apa motifnya. Yang gua tahu sekolah cakap nak menuju ke arah 'pembelajaran yang lebih kondusif bagi mengelak gejala hedonisme dalam diri pelajar seterusnya melahirkan mahasiswa mahasiswi yang mampu bergerak maju ke depan menongkah arus dunia yang kacau bilau'.

Bukan main lagi macam manifesto dekat-dekat pilihanraya last-last pak menteri tetap cakap 'Anda tolong saya, saya tolong anda'. Macam gampang.

Ok satu hari tu entah macam mana tergerak hati cikgu English mengajak gua dan kawan-kawan satu kelas keluar dari pagar sekolah tanpa perlu mintak tandatangan warden dalam kad outing. Depan sekolah gua ada satu jalan kampung yang mana laluan tu digunakan untuk merentas desa bagi pelajar-pelajar pada setiap hari Jumaat pagi bagi mengelak kawan-kawan gua tidur panjang lepas Subuh, main red alert di komputer yang dibawa haram ke sekolah dan membaca buku-buku yang tak berfaedah di pagi hari.

Ah lupa nak cerita. Gua sekolah kat Kedah jadi hari Jumaat memang cuti sebab tu boleh merentas desa pagi Jumaat balik berbekalkan nasik lemak yang mana lemak dibakar masa rentas desa dapat diganti dengan segera membuatkan merentas desa adalah aktiviti bagai mencurah air ke daun keladi.

Dah jauh menyimpang. Ok cikgu English gua menyuruh bawak pen dan kertas untuk mencatat apa yang dapat dilihat sepanjang aktiviti merayau di luar sekolah. Tidak seperti kawan-kawan lain yang tulis atas kertas gua selamba badak saja tak tulis apa-apa. Memori kuat kononnya.

Bila balik kelas cikgu suruh senaraikan apa yang gua dan kawan-kawan lihat sepanjang penjelajahan. Satu demi satu kawan-kawan gua senaraikan. Ada yang cakap nampak grass, river (walaupun disebut sebagai 'raiver' dan merujuk kepada longkang besar), ada yang sebut nampak bus stop. Gua rilek saja.

Makin lama hampir semua benda dah disenaraikan dan ditulis kat papan putih sampaikan semua tengok siling memikirkan apa lagi yang dah dilihat kat luar sebentar tadi.

Agak lama diam tiba-tiba gua angkat tangan.

Yes you? Cikgu English gua tanya.

"I saw bullshits" dengan yakin gua cakap.

Semua orang tengok gua.

Hari itu gua belajar 1 lesson. Taik lembu biasanya disebut 'cow dung' atau 'dropping' dan bukannya 'bullshit'.

Wednesday, July 28, 2010

Serius Entri Satu

Aku rasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat aku selepas aku baca entri dari Afifi yang di-copypaste dari zaharuddindotnet.

Jujurnya aku tak baca secara teliti pun entri ni sebab banyak sangat istilah-istilah Arab dan kewangan secara Islam yang susah aku nak faham. Jadi aku ulas dari permukaan saja la. Bagi aku PTPTN ni bukan benda baru. Dulu masa aku mula-mula sign borang PTPTN dah banyak kali aku dengar pasal orang merungut 'riba' yang PTPTN kenakan pada peminjam.

PTPTN bukan benda baru. 'Riba' PTPTN bukan benda baru.

Selaku seorang peminjam PTPTN tipu la kalau aku kata aku rasa senang dengan 'riba' yang dikenakan atas aku dengan pelan pembayaran yang macam 'kartun' yang disyorkan oleh PTPTN. Bayangkan kalau aku ikut 'pelan pembayaran yang disyorkan' aku bakal berhutang sampai 2025 dengan jumlah 'riba' lebih kurang RM 8000. Bagi seorang shopaholic mungkin RM8000 cuma boleh beli sebijik handbag atau sehelai baju vogue yang boleh dipakai untuk pergi majlis tari menari yang bakal dibuang selepas perut dah jadi buncit dan berselulit sana-sini.

RM8000 kalau bayar bulan-bulan RM250 pun boleh membawa ke 32 bulan bersamaan 2 tahun 8 bulan - hanya untuk bayar 'riba'. Kalau orang yang cuma mampu bayar RM100 lepas duit gaji tolak sewa rumah, ansuran kereta, simpan duit nak kawin, belanja awek masa dating, nak makeup kereta? Tak ke membawa ke 80 bulan bersamaan 6 tahun 8 bulan? Jangan lupa sekarang kita cuma mengira 'riba'nya saja.

Orang mudah lupa.

'Riba' yang dikenakan bukannya kita baru tahu sebulan selepas langsai meminjam. Bukan sehari selepas dah habis duit pinjaman digunakan. Benda yang dikatakan 'riba' ni kita tahu dari mula-mula kita meminjam. Waktu sebelum aku conteng borang PTPTN dengan dakwat hitam pen aku dah tahu pasal benda 'riba' ni. Tapi apa boleh buat kalau itu saja yang aku mampu untuk sambung belajar tanpa menyusahkan mak bapak aku menanggung aku sambung belajar. Ya bapak aku bukanlah Datuk atau Datuk Seri dan mak aku bukanlah Datin atau Datin Seri yang boleh menyara yuran yang sedia maklum agak mahal belum campur buku-buku dan perbelanjaan harian.

Pernah tak waktu anda conteng borang tu anda dengar ada kawan anda cakap "Ya Allah, ni riba ni. Aku tak boleh bersubahat dengan Institut Riba Negara dan para periba-periba sekalian"? Aku tak tahu kalau ada. Tapi aku memang tak dengar keluhan tu dulu. Keluhan tu akan datang sekarang - waktu membayar balik pinjaman. Orang mudah lupa bukan?

Kawan aku pernah tanya "Kau tak nak kawin lagi ke? Baik kawin awal-awal dapat mengelak maksiat".
Aku balas "Aku belum mampu. Pinjaman aku pun banyak lagi tertunggak".
Dia balas "Jangan risau. Orang cakap bila kawin murah rezeki".

Aku tak menyangkal bulat-bulat apa yang kawan aku katakan. Ya murah rezeki. Tapi dalam keadaan kau belum stabil kau nak kawin? Jangan lupa rezeki bukan datang dalam bentuk kertas yang bernama duit saja. Kalau kau murah rezeki dengan anak di waktu duit kau cuma mampu dihabiskan dengan makan nasik sekali sehari tiba-tiba bini kau beranak dapat kembar tiga? Tak melangut kau jang? Baru sekarang kau nak ubah PTPTN jadi PTPTipu?

Pendapat yang berguna.

Ni petikan dari entri:
"Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertawbat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha."

Nasihat ustaz betul. Tapi aku tak pernah tengok zaman aku belajar dulu bila masuk saja duit PTPTN budak-budak sembahyang jemaah bertaubat atas ketelanjuran terlibat dengan 'riba'. Sumpah aku tak pernah tengok. Yang aku nampak cuma melonjak-lonjak duit dah masuk terus meluru ke mesin ATM berhampiran keluar bandar capai handset baru, baju baru, semua baru.

Siapa yang tidak redha dengan duit yang secara sekelip mata melimpah ruah dalam akaun? Ya kamu yang tidak redha di sana, mari aku nak berkenalan!

Pendapat aku yang hina-dina buruk-muka miskin-harta ialah walaupun itu riba, itu janji aku. Aku yang conteng borang tu dengan sign aku. Aku berjanji untuk bayar balik duit yang aku pinjam. Kalau dosa tu boleh tengok melalui cimbclicks atau maybank2u, teringin aku nak tengok dosa terlibat dengan riba dan dosa memungkiri janji mana lagi besar?


Aku mintak maaf kalau ada sesiapa terasa dengan entri ni. Sila jangan segan-segan untuk kongsi pendapat anda melalui komen atau direct ke email aku ilyaszubir@gmail.com okeh? Cheers.

Thursday, July 22, 2010

Dak oh! Dak oh!

Ok ok aku update sekarang.
Sibuk betul.

Ah akhirnya habis jugak audit yang bagi aku sebagai kuli kualiti adalah seksaan di dunia kedua terteruk selepas buat Plant Design Project masa zaman belajar dulu.

Audit bagi aku adalah macam kau masuk rumah orang, kau tanya "Encik, kopi yang awak buat seminggu berapa kali? Ada rekod tak setiap kali awak buat kopi?"

Bizibodi sungguh. Lepas tu cakap "Kalau tak ada rekod awak kena la buat, kalau degil tak nak buat jugak nanti saya suruh jiran-jiran jangan datang rumah awak minum kopi sebab kopi awak ternyata tak ada kualiti sebab tak ada rekod."

Gila bukan? Ohhh..

1 hari audit dah cukup untuk membuatkan kaki sengal-sengal kerana terpaksa mengejar orang ini orang itu call orang ini orang itu dan bergelak ketawa mendengar pembohongan orang demi memastikan rekod ada yang menjamin kualiti barang yang mahu dijual. Tu baru sehari. Ni 3 hari.. Memang terbaik.

Kilang aku membuat barang-barang separuh siap sebelum dijual kepada kilang-kilang lain yang menjadikan barang siap seperti kek, biskut, makanan ayam. Dah menjadi kewajipan untuk jaga kebersihan kilang kaw-kaw sebab berkaitan dengan makanan kan. Tengah pengaudit jalan-jalan tiba-tiba nampak sawang labah-labah.

"Ni kenapa boleh ada sawang?"
"Takpa, ni sikit saja, kalau tengok dari sini pun tak nampak sangat" jawab operator dengan yakin. Memang cari mati. 1 NC (Non conformance) untuk kilang.

Jalan-jalan lagi pergi lab. Pengaudit mintak checklist untuk kualiti bahan mentah.

"Ni bahan mentah untuk lori mana 1?"
"Lori tu" jawab chemist dengan yakin tunjuk ke lori yang baru masuk kilang.

Agak-agak la baii kalo nak menipu. Lori baru masuk pun kualiti dah check ka? Macam gampang. 2 NC untuk kilang.

Ah banyak lagi kantoi-kantoi yang bodoh. Tak larat ah nak tulis.

Keputusan:
Pengaudit 13-0 Kilang

Padan muka aku nak verify 1-1 nanti.

Oh hari tu aku pergi dinner company. Company aku jemput Beeha.
Boleh tahan cun dia kan? Dah la suara sedap.

Friday, July 2, 2010

Siri Bercakap dengan Jin Bangla

Aku(A): Dah berapa tahun kerja baya(abang bahasa bangla)?

Bangla(B): Ha?

A: How long you work here?

B: 2 years.

A: 2 years work cannot speak Malay ah?

B: Sikit-sikit. Plant aa.. aaall Bangla. No Malay. 1 Malay plant aa.. I Malay.

Aku angguk-angguk buat-buat faham.

B: You Malay aa.. Go Bangla.. No problem.

A: Why no problem? Mana best sini dengan Bangla?

B: 2-2 best. Sini best. Bangla beeesstt. No problem.

A: Apa yang no problemnya go Bangla? Banyak enjoy-enjoy ka? (aku pun dah tersampuk english-malay ala bangla).

B: You, I, friend. Go Bangla, no problem. We friend.

A: Apa yang 'no problem'?

B: No problem aaa... You, I go Bangla.

Aku tambah pening. Pastu dia tambah:

B: You sponsor.

Macam gampang. Kena pau dengan bangla kat tempat sendiri.

Friday, June 4, 2010

Jun Antara-bangsa tapi bukan 'International'

Ok lupakan pasal trend 'apew-apew', 'sajew', 'gilew' dan sebagainyew, dem aku pun dah tersampuk sekali yang banyak membanjiri facebook anda, twittew (dem kenapa mesti typing error waktu camni?) dan sebagainya.

Dewasa ini aku tengok fesyen nama seakan-akan Arab pulak muncul macam Ali al-Ulu Tirami, Daud al-Selangori dan Faisal al-Beseri (nama contoh) yang banyak merujuk kepada tempat asal usul walaupun aku tahu ada ustaz yang belajar berapa tahun saja di Yaman dah mengaku kawan-kawan panggil dia al-Yamani.

Tak, aku tak ada masalah pun dengan orang-orang macam ni sebab aku faham dengan membuatkan nama jadi seakan-akan Arab akan membuatkan seolah-olah anda kool seperti baru pulang dari Arab atau mempunyai keturunan dari Arab sama seperti orang yang berketurunan orang putih yang ada nama macam Maya Karin Roelcke(ni aku google) atau Ahmad Busu Malmsteen atau Sabri Cobain (2-2 nama ni aku tibai saja) walaupun sebenarnya anda adalah seorang pemuda tempatan yang mempunyai 7-8 keturunan yang anda ketahui adalah asli dari Malaysia atau Indonesia.

Menjadi orang Kedah adalah menyakitkan sekiranya aku juga mahu menjadi kool seperti ini. Bayangkan jika aku letak nama aku menjadi seperti Arab akan jadi Ilyas al-Kedahi yang aku pun tak tahu apa yang bakal ke-dahi? dan nama orang putih menjadi Ilyas Kedahan yang pastinya aku takkan ke dahan sebab aku bukan tupai.

Dan ada orang macam ni yang menganggap ramai orang lebih bodoh dari dia. Tambah-tambah soal agama dan hukum syarak. Serius aku pernah jumpa ada orang yang tulis kat Facebook 'kimak, lancau, sesungguhnya hanya Islam agama yang diredhai-Nya'. Haha. Apa cerita?

Tapi apa yang pasti aku belum berjumpa orang Batang Berjuntai yang berani letak nama al-Batangberjuntai, gila lucah you ni.

Monday, May 24, 2010

Eksperimentasi

Orang Lain (OL): Dah lama kerja bang? Umur berapa?

Aku (A): Boleh tahan la. Aku dah 30. Kau?

OL: 28 bang.

A(dalam hati): Boleh percaya pulak? Aku belum pun 24 la setan.

Thursday, May 20, 2010

Blues pagi-pagi. Pagi-pagi.

Pagi tadi masa nak pergi kerja hujan lagi.
Selalunya bagi penunggang motosikal tegar macam aku bila tengok hujan mula la goyang. Nak-nak time nak pergi kerja. Risau saja seharian basah kuyup dalam ofis.

Yang mana biasanya naik moto mula keluarkan kereta sambil mulut terkumat kamit menyesal keluar lambat dari rumah.

Area Pasir Gudang ni kalau jam memang lain macam. Tambah-tambah kalau hujan mesti kiraan kereta atas jalan jadi double. Mamat yang jadi banci jalan raya mesti tak sempat nak berbual-bual.

Tapi aku steady saja. Semenjak dah beli baju dan seluar hujan berkos rendah aku dah tak goyang lagi bila pergi kerja tengok luar hujan lebat.

Pagi tadi pun macam tu jugak. Siap-siap pakai semua mula melunjur laju di atas jalan. Rasa sejuk saja tapi berkat keyakinan yang tinggi bahawa baju hujan adalah kalis air, aku gelakkan saja.

Lagi 2 kilometer nak sampai tempat kerja aku dah rasa lain macam. Rasa bergenang saja air kat seat moto. Gelak lagi. Bergenang pun bergenang la bukan masuk dalam seluar. Sambung gelak.

Sampai tempat kerja tengah bukak-bukak baju dan seluar hujan aku rasa lain macam. Rasa macam peha berpeluh baru lepas main bola. Tenang. Tenang. Bukak baju hujan pelan-pelan. Bukak seluar hujan pelan-pelan. Tarik nafas dalam-dalam. Tengok seluar hujan. Ada lubang sebesar penampar budak sekolah kat celah kangkang seluar hujan sambil seluar jeans dalam basah membentuk bulatan air.

Steady jalan pelan-pelan kontrol basah. Terasa air mengalir dari peha ke betis. Betis ke buku lali. Buku lali ke lantai sambil kepala menunduk tengok tanah. Macam cilaka.

Masuk tandas terus meluru ke hand dryer. Rapat ke dinding. Kasi on itu hand dryer. Makin lama makin rapat ke dinding. Siapa la punya idea sangkut hand dryer kat dinding. Tak praktikal langsung. Makin lama makin rapat. Makin rapat. Makin rapat.

"Kreukkk" pintu toilet terbukak.

"Ai bro, pagi-pagi dah bersetubuh dengan dinding?" sorang brader sapa aku.



Tak pasal-pasal kepala dia berdarah terhantuk kat cermin tandas.

Saturday, May 1, 2010

Teka teki hujung minggu

Sebelah rumah aku sekarang didiami oleh sekumpulan buruh seramai 20 orang serumah (mengikut kata kawan serumah aku).

Hari tu aku ada berbual dengan salah seorang abang buruh tersebut. Aku syak orang Indonesia.

Aku: Orang mana bang?

Abang buruh: Orang Johor.

Aku: Orang Johor?

Abang buruh: (Angguk).

Jauh di sudut hati dia aku tau yang dia maksudkan ialah Wong Jowo (Orang Jawa).

Adakah nama Johor berasal dari perkataan 'Jowo'?

Friday, April 30, 2010

1Mei lesia

Koc komuter untuk wanita

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan koc komuter khusus bagi penumpang wanita bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang mulai hari ini.

Gerabak yang bertemakan ‘Wanita Sahaja Sepanjang Masa’ boleh dikenal pasti menerusi pelekat merah jambu pada tingkap dan pintu komuter.

Menurut KTMB, lokasi koc di platform dapat dikenal pasti melalui kain rentang yang dipasang pada platform serta tiang platform yang berwarna merah jambu.

“Namun penumpang wanita tidak diwajibkan menggunakan koc ini kerana mereka boleh memilih untuk menggunakan koc biasa yang lain,” menurut kenyataan KTMB.


Statistik KTMB menunjukkan 60 peratus pengguna perkhidmatan komuter terdiri daripada wanita.

Kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama ibu atau keluarga wanita mereka juga dibenarkan menaiki koc merah jambu ini.

Koc untuk wanita diletakkan di bahagian tengah komuter manakala koc di hadapan dan belakang adalah koc biasa yang boleh digunakan bersama penumpang lelaki dan wanita.

Menurut KTMB, penyediaan koc khusus untuk wanita adalah bertujuan memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual atau terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. — Bernama

----------------------------------------------------------------------------------

Berikut adalah respons para pengguna:

Makcik rasa bagus la perkhidmatan ni. Biasanya makcik naik komuter terasa macam ada saja mata-mata liar yang memerhatikan tubuh makcik - Makcik Bedah - makcik yang curiga.

Saya tak suka la, bila masuk saja koc ni, terasa macam lambat lagi nak bertemu jodoh - Kak Jem - andartu susah hati.

Saya harap para gadis hot tidak terpengaruh dengan perkhidmatan ini. Betul-betul seksis - Abang Ali - sepasang mata liar.

----------------------------------------------------------------------------------

Bagi pendapat aku tak guna pun KTMB lancarkan perkhidmatan macam ni kalau tren tetap sampai setiap sejam lebih.

Selamat Hari Pekerja khususnya pekerja-pekerja yang setiap pagi berasak-asak naik komuter dan pekerja lelaki yang kena tunggu tren seterusnya sebab ruang dah berkurangan sebab aplikasi koc merah jambu. Selamat!

Tuesday, April 20, 2010

Siri 'Mengacum'.. bukan Mengancam tau?

Ok. Ni cita bosan. Pergi baca Sokernet lagi best.


Pagi tadi 2bijik 'back to back' kontena sarat berisi 25liter jerrycan entah macam mana boleh terperosok masuk dalam lubang kat dalam kilang atas kebijaksanaan jabatan logistik yang memarkir kontena atas tanah yang lembut walaupun bersimen.

Jabatan logistik bertanggungjawab mengangkat balik kontena dan membawa balik ke gudang (warehouse).

Aku selaku 'kuli kualiti' pun bertanggungjawab mengambil gambar keadaan produk dalam kontena tu.

Tiba-tiba datang orang logistik tanya aku sama ada kontena tu dah boleh dilepaskan ke pelanggan ke belum.

Untuk main selamat aku cakap la keadaan dari luar memang elok. Kat dalam manalah tahu ada jerrycan yang bocor ke, kemik ke. Aku jadi 50-50.

Dia anggap yang aku dah luluskan keadaan kontena. Dia cakap lagi kalau dah ok jom pergi pejabat logistik untuk tandatangan 1 dokumen sebagai 'approval' dari kuli kualiti yang kontena tu dah selamat dilepaskan. Cepat-cepat dia tarik aku suruh ikut dia ke pejabat.

Aku selaku budak baru mengikut saja sambil hati dupdap dupdap.
Mujur tindakan aku betul dengan menelefon bos aku dulu sama ada aku perlu tandatangan surat tu.

Bos aku cakap kuli kualiti mana perlu buat keputusan. Lagipun belum tau macam mana keadaan isi dalam kontena tu. Kalau pelanggan reject 2bijik kontena tu syarikat akan rugi tambah tolak RM 20k dan semua tanggungjawab terletak atas bahu aku sebab bagi approval pelepasan kontena tu.

Mujur aku belum tandatangan apa-apa. Perangkap gagal ye makcik dan pakcik?

--------------------------------------------------------------------------------

Pengajaran: Dalam kerja semua orang cuba cuci tangan atas apa-apa masalah dan sila selamatkan diri anda dahulu. Safety first. Ingat tau adik-adik?


Kronologi senario kes terburuk:

Logistik parking kat lubang ---> kontena tumbang ---> Logistik angkut balik ---> bawak pergi warehouse ---> logistik malas nak punggah jerrycan ---> logistik paksa kuli kualiti sign surat approval ---> logistik cuci tangan ---> pelanggan komplen ---> kuli kualiti bertanggungjawab ---> logistik gelakkan kuli kualiti


Babi punya logistik.

Thursday, April 15, 2010

Abang Matematik

Bagi aku mengingat nama orang adalah sama macam mengingat nombor telefon kawan-kawan seramai 300 orang.

Tambahan pulak dengan masyarakat kilang yang berbilang kaum dan budaya. Tak. Aku bukan racist tapi bagi aku mengingat nama Melayu adalah paling senang. Tak ramai orang lelaki Melayu yang punya nama unik-unik macam 'zulsyazwan', 'hare potter' dan sebagainya.

Nama glemer memang tak lari jauh.

Kalau bukan Mat, Din.
Kalau bukan Din, Awie.
Lebih kurang macam tu saja.
Memang senang ingat.

Sampaikan hampir kesemua operator aku panggil Abang Mat.


Tiba-tiba hari tu:

"Abang Mat, boleh tak try tengok area sana, macam ada yang tak kena saja." Aku cakap.

"Ok. Nanti saya tengok" kata beliau.

Aku pun jalan balik ke opis.
Kat tengah jalan baru aku teringat..






Rupanya tadi tu ialah abang Raju.
Dan dia ialah driver lori. Bukan operator.

Tuesday, April 6, 2010

Atan

Pagi tu aku pergi kelas macam biasa.
Pakai baju yang biasa.
Beg sandang yang biasa.

Tiba-tiba

"Eh Yop, ko minat Arsenal eh?"

"Aah. Awat?"

"Aku pun minat Arsenal jugak"

"Eh? Bila hang layan bola? Tak penah tengok hang lepak tengok bola pun?"

"Memang aku tak layan, tapi aku memang minat sangat dengan Arsenal"

"Ok. Bagi aku satu player Arsenal yang hang kenal."

"Hmmmm.... Frank Lemperd"



Malam ni kalau Arsenal menang lawan Barca secara otomatik aku pergi opis sok pakai baju Arsenal.

Wednesday, March 31, 2010

Seronoknya Malaysia #1



Musim bunga dan musim luruh berlaku serentak.

Lepas ni boleh syor kat Prof Razak suruh buat drama 'Autumn & Spring In My Heart'.
Janji mesti ada Apek & Fasha Sandha.

Saturday, March 27, 2010

Malang Tak Berbau Ketiak Lu

Bulan Januari - 1 Lost Time Injury (LTI).
Bulan Februari - 1 LTI.
Bulan Mac - 1 LTI.

Dah macam upacara bulanan. Mangsa accident sampai kena cuti MC 3 minggu sebab tangan mengelupas sebab kena stim. Kaki melepuh sebab kena air panas.

Kalau kat tempat lama seorang budak jatuh naik basikal sampai berdarah lutut esok boleh bekerja macam biasa pun diungkit kesnya sampai berbulan-bulan.

Tempat sekarang LTI sampai cuti 3 minggu macam 'small matter' boleh setel kawan2 saja.

Alasan safety manager tak perlu lapor hal2 accident untuk melindungi orang atasan (top management). Katanya dia takkan kena apa2 kalau DOSH datang, bos yang kena.

Bestnya jadi safety manager. Kalau accident bos kena penjara, operator terbakar tangan, safety manager lepak ofis air-cond tak kena apa-apa. Bestnya jadi safety manager.

Minggu lepas aku isu pasal safety kat safety department. Tak lama lepas tu 3 orang safety enforcer datang kepung meja aku.

"Apa hak kau nak highlight pasal safety? Kalau pandai sangat join la safety department."

Macam setan.

Monday, February 22, 2010

CC tak ada aircond pun tak bagi smoking

Cerita 1:
Aku tengah ragu sekarang.
Macam mana taman perumahan yang mempunyai hanya kira-kira 100 buah rumah TM bagi alasan tak boleh pasang streamyx memandangkan port dah penuh.

Celcom/maxis broadband? Tak payah. Aku nak call orang pun dah tak berapa bernafsu sekarang. Line macam gampang.

Kamal streamyx. Sila ambil tindakan.

Cerita 2:
OK. Aku syak kegiatan menguping aku telah kantoi.
Sekarang mereka memanggil aku TOM.. wtf. ciao.

Tuesday, February 9, 2010

Hi Sumpah Saya Tak Racist

Ok sekarang aku sudah selamat bergelar 'pekerja'.
Sebenarnya baru bergelar pekerja pada umur 23++ bukanlah sesuatu yang bagus memandangkan rakan-rakan sekerja aku yang sama umur sudah 1-2 tahun kerja.

Macam masa aku praktikal dulu, bila dengar technician yang sama umur dengan aku dah setahun bekerja aku cakap
"Bagusnya muda-muda dah kerja"

Kawan sepraktikal aku yang rata-ratanya semua muda dari aku kata:
"Kau yang tak guna. Dah tua belum kerja-kerja lagi"

Defak.

Jadi selaku pekerja baru, setiap hari kerja aku baca Standard Operating Procedure(SOP), menguping, dan curi tulang bila berkesempatan.

Ok. Buang semua perkauman di sini----> Buang.

Syarikat aku pada dasarnya ialah milik penuh kaum India yang baru dibeli oleh taikun Cina untuk mengembangkan empayar taikun itu.

Jadi majoriti pekerja dalam kilang ialah India diikuti Melayu, Cina, Nepal, Pakistan dan Iban.

Tengah aku belek-belek buku yang ada, tiba-tiba aku syak walaupun majoriti pekerja ialah kaum India tapi yang paling banyak disebut dalam buku tu ialah seorang Cina bernama Jerry.

Hampir-hampir aku tanya kawan sekerja aku camni:
"Jerry ni kerja department mana eh? Bukan main glamour lagi nama dia bersepah sana sini".

Mujurlah iman aku masih kuat. Tengok tajuk buku - Packaging.












Ingat ya adik-adik, Jerry Can dan Jerry Chan ialah dua benda yang berbeza.

Thursday, February 4, 2010

Hi Saya Peeping Tom

Sekarang aku ada hobi baru iaitu menguping (curi dengar).
Maklum la kerja bukannya ada pun tapi lepak dalam bilik aircond dengan kerusi yang sedap dipandang dan diduduk sampai mata pun mengantuk.

Tak la bos. I tak salahkan kerusi tu. Mata I yang mengantuk.

Ok berbalik ke menguping tadi.
Sekarang aku sudah merasai apa perasaan duduk di dalam partition ofis.
Dalam ofis tu ada partition yang menempatkan 10 buah meja yang mana semuanya diisi oleh kakak-kakak, rakan sebaya perempuan dan seorang laki iaitu aku.
Sepertimana yang aku kenal diri aku agak pemalu dengan perempuan (Sumpah tak tipu).

Jadi aktiviti aku setiap hari ialah baca buku-buku 'Bedtime Story' bila mata mengantuk keluar hisap rokok, sembang dengan pak guard pasal 'minyak kuat' dan poyo berbahasa Sarawak dengan staf dari Sarawak.
Dah la nak keluar hisap rokok pun macam pencuri. Keluar senyap-senyap. Masuk senyap-senyap.

Tapi sejak bekerja ni aku rasa macam jam gerak lambat gila lebih-lebih lagi dekat-dekat nak balik.
Tengok jam pukul 5. Buat kerja. Tengok jam pukul 5. Buat kerja. Tengok jam pukul 5. Lambat gila bergerak.
Tengok jam pukul 5.30. Bersemangat angkat beg nak balik. Berdiri baru nampak jam dinding pukul 5.15.
Duduk balik. Mencarut siapa yang cepatkan jam tangan aku.
Pukul 5.30 balik.

Eh berbalik kepada menguping tadi.
Disebabkan aku belum ada tugas khas lagi, selain baca Bedtime Story aku juga suka menguping perbualan kakak-kakak yang ramah-tamah kat ofis.
Ada cerita pasal kemalangan jalan raya. Ada cerita pasal anak tak makan limau. Ada cerita pasal suami asyik merungut dia asyik masak ikan goreng.

Jadi seperti yang aku cakap tadi duduk dalam bilik aircond lama-lama betul-betul membuatkan aku kekeringan.
Dahaga bukan main. Asal dahaga minum air. Asal minum air nak masuk tandas.
Kalau setiap kali masuk tandas kena punch kad mesti punch kad aku dah penuh sekarang.

Jadi semasa aku tengah minum air seperti biasa,

"Bukan main cantik je lampu kuning kat kedai tu. Ayam dia semua nampak segar-segar je. Bila aku balik rumah tengok ayam tu pucat gile. Macam orang baru lepas tuuu je" disambung gelak tawa kakak-kakak lain.


Air bersembur keluar dari hidung.

Sunday, January 31, 2010

DejaVulupubis

Tengah bulan hari tu aku naik bas ekspres 'Bintang' ke Pasir Gudang sebab ada temuduga.
Driver malam tu seorang abang gemuk dan seorang abang misai.
Bas bergerak saja skrin tv terpasang filem dari DVD cetak rompak yang tipikal.
Tajuk cerita - Zombie Kampung Pisang.



Hujung bulan aku naik bas ekspres 'Bintang' lagi ke Pasir Gudang.
Driver malam tu seorang abang gemuk dan seorang abang misai.
Bas bergerak saja skrin tv terpasang filem dari DVD cetak rompak yang tipikal.
Hati aku dah berdegup kencang.
"Tolong la cerita lain. Tolong la cerita lain."
Tajuk cerita - Zombie Kampung Pisang.

Tuesday, January 26, 2010

Sibuk walaupun tak buat apa-apa

Baru-baru ni musim interview.
Nak berak pun kadang-kadang tak sempat.
Keluar saja bilik air tengok henset mesti ada missed call.
Sekarang baru la aku terasa betapa pentingnya bahasa Inggeris.

Pada suatu hari entah macam mana gatal tangan aku cari kerja melalui internet.
Kena pulak syarikat tu syarikat Amerika.
Lepas dah lulus assesment depa nak phone interview aku.

Sebab dah nama pun syarikat Amerika nak set-kan masa pun mestilah ikut waktu Amerika.
Aku dah bajet pukul 10 pagi waktu Malaysia memandangkan jam badan aku biasanya boleh bangun paling awal pun pukul 9.
Tengah sedap-sedap tidur..

"Tutt..tutt" Baru pukul 9 timbul nombor pelik dari telefon.

"Good morning" suara aku serak-serak baru bangun tidur.
"Sorry because I call you earlier because bla bla bla" orang putih bercakap dalam slang Amerika.
"Oh ok."
"Introduce yourself"
What the fook! Aku tengah mamai terpaksa jugak cakap apa yang terlintas dalam otak.

"Ok. I give you 3 conditions of working environment. Please listen carefully. Number 1 bla bla. Number 2 bla bla. Number 3 bla bla"
Sepatah pun aku tak paham. Maklum la loghat Amerika.
"Pardon me sir. Can you repeat please? The line was not clear" aku auta dengan cemerlangnya.

Dah ulang lagi sekali pun aku tetap tak faham apa dia cakap dan aku pilih nombor yang aku gemar. Begitulah sampai habis interview.

Duration interview: Tak sampai 5 minit.

Pengajaran: Aku berjanji takkan pasang subtitle lagi sewaktu menonton American Pie.
Kenapa mesti American Pie? Sebab American Pie baru ada slang Amerika!

Wednesday, January 20, 2010

Sampah

Ibu pelajar tampar guru

KANGAR - Sesi menjernihkan keadaan antara pihak sekolah dengan penjaga kepada seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini bertukar tegang apabila seorang ibu 'naik angin' dengan menampar seorang guru sekolah itu kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku di bilik pengetua sekolah berkenaan selepas ibu pelajar tersebut gagal menahan emosi lalu menampar pipi guru lelaki berusia 26 tahun tersebut.

Difahamkan, sehari sebelum itu, guru Matematik tersebut didakwa telah menampar pelajar terbabit selepas mendapati dia membuat bising di luar kelas sehingga mengganggu pelajar lain.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, wanita berusia 40-an tersebut mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya selepas pulang dari sekolah.


Bila ingat-ingat balik dulu masa darjah 2 hampir setiap hari kena tampar dengan Cikgu Gan, cikgu kelas merangkap cikgu English sebab macam-macam alasan antaranya tak pandai speaking langsung.

Bila dia nak telefon bapak aku cepat-cepat aku merayu jangan telefon sebab aku tau bila balik sekolah mesti bapak aku akan 'tambah lauk' lagi.

Budak-budak, pandai buat taik, pandai kambus balik.
Mak bapak, kalau anak berak merata-rata, salah ke cikgu nak didik supaya anak murid pandai berak kat jamban?

Susahnya cikgu sekarang. Rotan tak boleh, tampar tak boleh.
Bila budak-budak jadi sampah. Cikgu jugak yang kena tuding jari.

Sayangkan anak tangan-tangankan. Ke dah tak boleh digunapakai dah sekarang?
Orang lebih suka sayangkan bini, kahwin lain.

Monday, January 11, 2010

Monday Glory

Aku tak punya ramai kawan kat Alor Setar.
Kalau ada pun Syapik dengan Pidud saja.
Tapi aku ada hot spot yang best kalau nak sembang motivasi, mengarut-ngarut, kat kedai bunga raya.
Owh tu bukan kedai jual bunga, tu kedai gunting rambut sebenarnya. Abang aku yang kenalkan masa di bangku sekolah dulu.

Abang Mani atau 'Mani aney' memang syok kalau layan bersembang.
"You tak gunting rambut pun takpa, datang saja sini kita boleh sembang-sembang".
Dia punya servis memang tip-top. Tapi yang tak tahannya setiap kali sembang dengan dia mesti kena bawak air minum paling kurang sebotol besar. Mesti kering tekak yop! kalau sembang dengan dia.

Nak dijadikan cerita petang tadi entah setan mana ajar aku tidur pukul 7, bangun pukul 9 malam. Bosan punya pasal, aku cari pasal lepak kedai bunga raya sebab dah lama tak layan sembang dengan Mani aney. Last pun sebelum aku pergi Sarawak itu hari. Ada la dekat 7 bulan.

Seperti biasa tekak dah kering dan dah lama pulak rasa lepak kat situ. Kebetulan kat tepi bunga raya ada kedai runcit. Bukak peti sejuk terkejut aku tengok ada 'Istak' kat situ.

Tau 'Istak'? Ala yang itu hari kecoh-kecoh pasal 'bir halal' tu. Kes ada ustaz sorang yang bengkak gila dengan istilah 'bir halal'. Kan menimbulkan kekeliruan orang ramai. Mana boleh 'bir' dilabel halal. Agaknya ustaz tu dulu masa kecik-kecik mesti tak pernah minum 'root beer' A&W. Dia punya tin pun macam style saja.

Baiklah. Baiklah.
Bukan bir la. Minuman Istak.
Ambik Istak setin, Coke botol besar satu.

"Berapa?" Aku tanya.
Mamak tu tekan kalkulator lebih kurang.
"8 ringgit 7 kupang"

"Sat. Coke 1 berapa?"
"3 ringgit 2 kupang"
"Istak?"
"5 ringgit 5 kupang"

Bayar duit. Blah.

Watdeff.. Sapa kata Istak bukan bir?

Friday, January 8, 2010

Review Filem Sempena Tahun Baru

Pernah tengok hantu?
Biasanya dari kecik-kecik dulu orang cakap:

"hantu tak ada bayang"

atau ada jugak jiran aku yang pernah berjumpa dengan seseorang, tapi bila tengok dari celah kangkang rupa-rupanya kaki orang tu tak jejak tanah.

Kira-kira 2 minggu lepas aku ada terbeli satu DVD dari pirate yang bernama Nang.
Dia kalau promote filem cukup bersemangat.
Kadang-kadang sampai air liur bersembur-sembur.
Cerita senario pun jadi bukan main seronok lagi kalau dengar dia promote.
Tapi sebab kawan sama-sama meniaga aku sapot jugak la bisnes dia.
Lagipun boleh dapat murah dan ada gerenti boleh tukar kalau gambar tak elok.

DVD yang aku terbeli tu bertajuk "Paranormal Activity"
Kat Malaysia ni belum keluar kalau tak silap aku.

Jadi selepas 2 minggu petang tadi aku baru setelkan tengok cerita tu.



**Spoiler Alert - Jangan baca kalau dah plan nak tengok wayang dengan awek**

Cerita dia berkisar 2 orang yang mana seorang laki dan seorang perempuan yang tinggal serumah.
Perempuan tu cakap yang sejak dari umur 8 tahun ada 1 entiti selalu ikut dia.
Laki tu lebih kepada percaya-tak percaya jugak la.

Jadi untuk menjadikan yang entiti tu betul-betul wujud mereka beli videocam dan rakam kejadian setiap malam. Kiranya ni homemade video la. Tanpa krew penggambaran dan tak ada Steven Spielberg kat situ.
Kaki skodeng, tak ada scene2 mengghairahkan pun dalam filem ni. Jangan berharap ya?

Dari awal filem sampai habis semua berkisar kejadian dalam rumah tu saja.
Macam boring saja kan? Tengok saja dulu.

Rating: 4.5/5.0

Bak kata Nang "Ni betoi-betoi jadi. Bukan cobaan punya"

'Siapa kata hantu tadak bayang-bayang dan kaki tak jejak tanah?'

Cilakak. First time aku tengok filem hantu tutup mata pakai jari.

Friday, January 1, 2010

Sekarang Tengah Musim Letak Tajuk '2010'.. Tak Macho Langsung.

Dulu masa zaman sekolah menengah, ustaz cakap alat-alat muzik semuanya haram.
Melalaikan.
Membawa ke maksiat.

Masa belajar kat universiti aku mula berjinak-jinak dengan drumming.
Join kawan-kawan jamming hujung minggu.
Join budak-budak masjid main drum untuk lagu nasyid.

"Eh, bukan main alat muzik haram ke beb? Korang main ni takkan ustaz tak larang?" aku tanya.

"Ustaz cakap bergantung niat. Kalau main muzik elok-elok tak apa"

"Habis kalau orang minum arak dengan niat baik nak panaskan badan pun boleh la?"

"Oh itu lain."

Sejak hari tu aku dah malas dengar apa-apa kata ustaz. Sepatutnya benda yang halal terus halal dan benda haram terus haram la kan? Ada siapa nak komen pasal ni dialu-alukan.

Jadi bersempena tahun baru, azam tahun baru aku ialah berhenti membenci ustaz. Ustaz pun manusia biasa jugak kan ustaz?

Selamat tahun baru 2010. Semoga Murah Rezeki.