Suatu masa dahulu masa latihan rumah sukan sekolah rendah, aku paling benci lari pecut 100m. Mesti aku yang corot. Masuk saja darjah empat aku dah pandai berfikir rasional dan taktikal. Asal ada lari 100m saja mesti aku pilih dulu siapa lawan aku. Semua gemuk-gemuk. Haha... Tapi aku tetap corot. Cilakoi. Jadi zaman sekolah rendah aku tak pernah wakil rumah sukan pun dalam apa-apa acara macam aku cerita kat sini.
Jadi kemasukan aku ke sekolah menengah aku mula berjinak-jinak dengan sukan. Antara sukan paling top masa zaman tu adalah pingpong. Tiba-tiba banyak pulak pemain baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan (pinjam ayat karangan sekolah rendah). Aku pun tak pernah main pingpong sebelum tu.
Coach pertama aku masa tu kawan sekelas aku. Nama dia Paril. Paril tu aku tak paham macam mana dia boleh power gila. Bola pingpong spin atas lantai pun last-last boleh naik atas meja pingpong balik. Aku pun tak paham macam mana dia buat. Misteri betul.
Mula-mula memang bodoh. Serve bola mula-mula pun tak kena. Kelas latihan yang Paril setkan untuk aku pulak setiap hujung minggu saja. Macam mana nak pandai?
Selepas lama berfikir panjang, Kesatuan Pemain Pingpong Baru telah mencapai kata sepakat untuk berlatih dengan lebih serius. Setiap hari waktu kelas prep petang. Meja cikgu bakal menjadi medan pertarungan. Sekurang-kurangnya daripada tidur saja waktu prep petang baik bersukan. Badan pun sihat kan?
Jadi selepas set meja cikgu jadi meja pingpong, semua budak baru belajar memenuhi kelas aku. Main rotate. Siapa kalah blah, yang menang stay. Memang seronok. Kadang-kadang saja ja pergi kelas awal semata-mata nak booking turn dan panaskan badan padahal sebelum tu paling menyampah nak pergi kelas prep.
Sebab dah tiap-tiap hari main mutu permainan aku mula meningkat. Hayun sambil tutup mata pun bola boleh spin. Pelik betul. Antara musuh aku yang paling ketat ialah Pakwanmat. Dia pun sama jugak baru belajar main tapi sebab dah tiap-tiap hari main sampai dah boleh hayun kat celah kangkang. Lagi dasat.
Petang tu aku bersemangat pelik. Berkobar-kobar lain macam. Makan lunch pun sikit ja sebab nak cepat-cepat balik mandi terus main pingpong kat meja cikgu. Petang tu aku lawan Pakwanmat. Masing-masing berlawan spin. Bet pingpong yang tak ada getah pun boleh jugak bantai spin.
"Pung pang, pung pang"
Memang sengit. Budak-budak lain yang tengah tunggu turn semua jadi penonton setia. Mata pun taknak berkedip takut-takut terlepas aksi menarik (bajet). Tiba-tiba Pakwanmat bagi bola lambung. Peluang terbaik nak smash. Aku tarik nafas panjang-panjang, tiba-tiba Pakwanmat dah letak bet atas meja pastu blah balik ke tempat duduk.
"Woi, nak pi mana? Game tak habis lagi" aku jerit. Aku tengok para penonton semua tengah khusyuk baca buku.
Aku pusing badan aku nampak Pak Hassan cikgu disiplin kat belakang aku tengah peluk tubuh....
*************************************************************************************
Petang tu aku belajar sukan baru - ketuk ketampi sambil tampar pipi sendiri.
Badan sihat. Cheek bone boleh tinggi. Lagi macho dari main pingpong.