Showing posts with label cerita aku. Show all posts
Showing posts with label cerita aku. Show all posts

Friday, May 29, 2009

Jangan nak Up Cerita Depan Aku, Buruk Padahnya

Pagi ni aku bangun saja dari tidur aku dah rasa lain macam. Tekak rasa macam tersekat-sekat air liur dari mengalir seperti biasa. Ah ini petanda nak demam.

Hari ni meniaga pagi. Aku rasa melayang-layang. Gila. Orang nak beli apam balik pun mungkin takut sebab mata rasa berat ja nak bukak. Lepas tu senyum tak tentu hala.

Balik saja meniaga aku makan panadol 2 bijik. High gila rasa kepala. Ah tidur ja la. Baru saja baring tiba-tiba:

"Kring-kring" bunyi standard henfon berbunyi.

"Woi Yop, kat mana tu? Tak pi semayang Jumaat ka?"

"Mesti la pi Dato'. Ni ada kat belakang imam ni"

"Jangan tipu aku la. Jom main golf"

"Ish, hari lain la Dato'. Hari ni saya rasa tak sedap badan la, lagipun apa kata masyarakat nanti bila tengok saya main golf waktu orang semayang Jumaat?

"Oh tau pulak segan. Ok tunggu kat rumah. Aku on the way pi sana ni"

Beberapa minit lepas tu terdengar deruan kereta mewah di depan rumah aku.
BMW 5 series biru Dato' tu dah sampai. Terpaksa jugak la aku layankan orang tua ni main golf.
Dasar orang tua keji. Time-time panas terik camni pun bleh ajak aku main golf.

"Padang golf mana kita nak main hari ni Dato'?"
"Hari ni kita main jauh sikit la. Hari tu aku main kat situ macam ada ong ja. Tiger Woods tengok silap-silap dia merayu tak bagi aku lawan dengan dia. Hahaha"
"Hahaha" bila orang kaya gelak kita kena gelak sekali. Baru senang nak paw dia apa-apa nanti.

Sampai saja kat padang golf tu aku dah rasa lain macam. Memang terasa ong padang tu. Aku capai club cepat-cepat.

"Dato', bagi saya pukul dulu la. Rasa semangat pulak tengok padang ni"

"Ok, kita main siapa kalah bayar la boleh?" ujar Dato'.

"Sett"

"Zass" bola melayang cantik punya. "Plup" masuk hole-in-one.

Dato' tu dah goyang. Pukulan kedua aku pun camtu. Ketiga pun camtu.

"Amacam Dato'? Boleh belanja makan sekali rasanya ni"

"Ah baru sikit tu, cuba pukul sana pulak" Dato' tunjuk ke satu arah.

"Mana ada lubang sana Dato' " kata aku sambil capai teropong.

Dalam imej teropong tu tiba-tiba saja aku nampak 2-3 anak dara basuh kain kat tasik padang golf. Macam haram.

Tiba-tiba aku terjaga. Cis mimpi rupanya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Nota sendiri tambah:

Oi kawan-kawan, ini ada sorang member aku masuk pertandingan 'siapa photogeek terhebat'.
Dia janji kalau dia menang nak belanja makan besar-besaran kat mana-mana tempat yang anda suka! Tapi dengan syarat anda mesti mengundi beliau untuk jadi pemenang. Apa tunggu lagi?

Untuk keterangan lanjut sila klik sini---> WanBanci Sultan Bangi

Friday, May 22, 2009

Kisah CD dan T-shirt


Aku sudah berjaya dapatkan benda2 ini~ oyeah! oyeah!

Nak dijadikan cerita petang tadi aku tidur lepas semayang jumaat. Bangun-bangun saja aku fikir apa yang aku nak buat malam ni. Ah beli cd green day la. Tiba-tiba saja kan? Tak. Dalam mimpi aku tu aku mimpi aku beli cd green day pastu ada free t-shirt.

Tadi aku saja la gatal-gatal jengah kedai muzik tengok-tengok dah ada cd green day atas rak new arrival. Berbekalkan RM 30 dalam poket aku melangkah masuk kedai muzik. Tengok harga RM 40.90~ Laju saja aku lari ke mesin ATM cucuk RM50.

Masuk balik dalam kedai baru aku nampak tulisan 'free t-shirt'. Macam dejavu saja kan? Baru aku perasan staf kedai tu semua pakai baju free itu. Menurut akak kedai tu free t-shirt untuk cd RM40.90 tu. Untuk cd green day RM 49 tadak free t-shirt.

Gila apa kan? Patutnya yang mahal la ada free t-shirt. Rupa2nya yang mahal tu cd imported.

"Smart tak t-shirt tu kak? Nak tengok" kata aku sambil tuding ke baju yang dia tengah pakai. Akak tu pakai tudung jadi mana la aku nampak corak baju tu.

Dengan muka bersalah dia angkat tudung pelan-pelan sambil cover dada. Tersentak aku. Mujur ada amoi menyelamatkan keadaan.

"Takpa la kak, saya tengok baju amoi tu ja la" sambung aku gagap-gagap.

Sori kakak kedai muzik. Saya bukan pervert seperti yang anda sangka. Awek-awek..Sila jangan jauhkan diri dari saya~

'Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya'

Tuesday, May 19, 2009

Pengalaman Pertama Kali Berjumpa Hantu

Semasa aku tingkatan satu, aku masuk sekolah lama. Memang lama. 1908 mula dia bukak. Sekarang dah 101 tahun dah pun. Bijak tak matematik aku? Ok. Masuk tingkatan satu biasalah, mula berjinak-jinak dengan badan beruniform untuk membentuk disiplin. Tak la keja merempit saja, kan?

Jadi kebiasaan badan beruniform ni mesti la ada camping. Bukan. Aku bukan budak pengakap. Budak pengakap mana syok. Aktiviti tahunan bersih masjid dengan jamban sekolah saja.

Camping pulak buat dalam sekolah saja. Jimat kos. Aktiviti malam wajib masa camping badan uniform ni mesti la yang berunsurkan menguji keberanian macam 'burung hantu' - tinggal sorang-sorang kat 1-1 tempat, 'semangat wira' - jalan ikut checkpoint yang ditetapkan.

Masa form 1 dulu sumpah aku penakut gila. Nak pergi tandas kencing pun kena ajak kawan temankan masa kat hostel. Jadi malam tu aku cuak. Peluh sejuk tak payah cerita. Perah boleh penuh 1 gelas. Tipu la kalau kau kata kau berani tahap gaban masa form 1 dulu. Hak ptuih!

Malam tu ada aktiviti 'burung hantu'. Pukul 11 dah kena tidur dalam khemah. Pukul 2 pagi senior dah kejut. Masa briefing tu senior bagi password:

"Kalau nampak hantu sebut 'Apo', kalau hantu tu jawab 'Tongga', tu senior. Jangan takut. Kalau dia jawab selain dari 'Tongga', tu hantu betul."

Habis saja briefing semua orang diletakkan di satu tempat sorang-sorang. Senior siap pesan jangan tidur sebab penah jadi dulu sorang budak tidur bila terjaga dah ada kat atas kubur. Gila angker. Lagi cuak aku.

Jadi aku diletakkan kat satu kelas ni. Memang blok yang paling lama kat sekolah tu kot. Buat-buat berani. Semua surah yang terlintas dalam kepala keluar habis satu-satu. Tiba-tiba~

"Hee..Hee"

Ah sudah. Tiba-tiba saja bunyi mengilai. Aku dah peluh basah 1 baju. Bila aku toleh belakang ada satu makhluk yang pakai serba putih makin mendekati aku.

"Dup dap..dup dapp" memang saspen.

"APO!" Aku jerit kuat-kuat.

"Heeeeee" dia balas.

"Ah..cilakak..APO!"

"Heeeeeeeeee" makin panjang pulak dia mengilai. Makin dia dekat dengan aku.

"Pangg.." Aku terajang hantu tu laju-laju...

--------------------------------------------------------------------------------------------

"Hang lari pusing padang ni sampai aku suruh berenti baru berenti."

"Kecik-kecik dah berani terajang orang"

Tak pasal-pasal aku berjoging sebelum azan subuh berkumandang.

Sunday, May 17, 2009

Kegiatan Pada Hari Cuti yang Saya Suka

Hah baca entri saja mesti terasa macam nak pergi bercuti, tidur sepuas-puasnya takpun menonton AF..Kan? Maaf anda salah teka.

Kegiatan biasanya pada hari cuti persekolahan ini biasanya aku isi dengan kegiatan berfaedah iaitu menjual apam balik di pasar malam. Ketika di bangku sekolah juga sama. Aku akan berniaga di pasar malam pada musim cuti sekolah. Tapi lepas itu mesti kena kutuk kaw-kaw dengan rakan sebaya kerana merasakan adalah tidak kool berniaga ketika berumur setahun jagung.

Tetapi kejadian ini berbeza apabila sudah besar. Bila aku bagitau berniaga ketika cuti rata-rata rakan sebaya akan kagum dan menyatakan minat yang sama untuk berniaga. Aku pun tak faham kenapa, mungkin lelaki bujang dan sudah berumur amat kool beraksi di pasar malam. Teori bodoh apa tu aku pun tak tahu.

Baik. Aku memulakan hari pertama pada hari khamis yang lalu. Posisi pembuat apam balik sengaja aku serahkan pada rakan sejawat aku, Zaid manakala aku berada pada posisi pemotong dan pembungkus. Baru boleh bersosial. Biasanya hari pertama aku agak kekok memotong. Biasalah, tune belum betul. Tapi kali ini aku agak hairan. Pisau rasanya amat sebati dengan tangan. Meluncur laju dengan lancar (sebab baru lepas diasah).

Kemahiran bersosial amat penting dalam pekerjaan ini. Contoh dialog:

"Ya kak long, apam balik sedap ada, putu buluh sedap ada" kata aku.

"Apa yang tak sedap kat sini? Nak yang tu la" kata pelanggan.

"Tapak kaki saya" kata aku.

*gelak bersama-sama pelanggan*

ok potong tahi (cut the crap).

Begitulah cerita pendek pengalaman aku. Sesiapa yang mahu membeli apam balik di sekitar Kubang Pasu membawa ke Changlun, atau Bedong pada hari selasa, sila tanya apam balik pakcik Zubir. Anda tak akan menyesal (promote baik punya).

Nota Sendiri Tambah:
Fakta yang mungkin anda tidak tahu tentang apam balik:

1) Apam balik dipercayai berasal dari Indonesia. Tetapi di sana orang memanggilnya 'martabak' manakala 'murtabak' yang dijual secara besar-besaran di pasar ramadan itu dipanggil 'martabak mesir'.

2) Berlainan di Sulawesi, apam balik dikenali sebagai 'Kuih Terang Bulan'. Teruk gila nama.

3) Jika anda membeli apam balik yang besar, kebanyakan pembeli akan memilih apam balik yang betul-betul baru diangkat dari atas acuan kemudian meronda-ronda sebelum pulang ke rumah. Ini adalah kesalahan yang amat serius kerana apam balik panas itu akan 'berpeluh' menyebabkan rasa tawar dan pahit akan wujud pada apam balik itu.

4) Cara yang sebenar ialah anda pergi meronda-ronda dahulu kemudian baru beli apam balik dan terus 'balik' atau pulang ke rumah. Sekarang sudah faham kenapa dipanggil apam 'balik'?

5) Bagi apam balik yang kecil juga cara yang sama. Ini kerana apam balik kecil yang sudah sejuk akan menjadi lempeng dan liat bila digigit.

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru

Aku tak bersetuju dengan pepatah

"Orang yang luar biasa terdidik dari seorang guru biasa"

Walaupun aku orang biasa tapi aku percaya semua cikgu-cikgu, ustat-ustazah, pensyarah-pensyarah dari darjah satu sampai tahun empat universiti ialah guru yang luar biasa.

Selamat Hari Guru.

(Entri ini langsung tiada unsur bodek. Harap maklum)

Monday, May 4, 2009

Sila Panggil Aku Homophobia Kalau itu Bisa Membuat Ibumu Tak Kedekut Duit Poket

Kuala Lumpur merupakan satu tempat yang agak asing bagi aku walaupun aku agak sering jugak la menziarahi Lowyat untuk beli gadget bukan-bukan.

Pada suatu hari, aku bertolak dari Raub ke KL betul-betul selepas Subuh sebab nak mengejar tiket bas balik ke Alor Star hari yang sama. Bersama aku ialah Chot 'Lelaki-Tak-Takut-Hantu' dan seplastik besar rambutan beserta sekotak buah dokong sebagai buah tangan dari kebun buah-buahan bapak angkat aku di Raub.

Aku tiba di Pekeliling kira-kira jam 8 pagi. Dasar orang yang jarang-jarang tengok matahari terbit aku turun dari bas dalam keadaan mamai dan terhoyong hayang sambil menjinjing seplastik besar rambutan.

"Aku pi toilet sat, pastu usya tiket skali" kata Chot LTTH.

Tinggallah aku sorang-sorang di tempat duduk menunggu. Oleh disebabkan orang yang tak ramai pagi tu aku tertengok sorang laki lembut yang sedang berjalan terkedek-kedek mengempit sesuatu di celah kangkang.

Macam tau-tau pulak tiba-tiba dia melambai-lambai lembut kepada aku.

"Damn, jangan la datang sini, jangan la datang sini" aku berdoa dalam hati.

Doa aku makbul, dia tak menghampiri aku pun.

Tiba-tiba Chot datang.

"Tadak la tiket Lostaq (Alor Star) sini. Kita pi Pudu la" kata Chot.

"Abeh nak naik tren ka ni?" tanya aku.

"Barang banyak ni. Kita naik teksi la" jawab Chot.

"Kat mana nak cari teksi?" aku sambung.

Oleh disebabkan orang yang tak ramai Chot menghampiri laki lembut tadi.

"Buduh..jangan tanya orang tu!" Aku separuh menjerit. Chot tak dengar. Aku dah rasa tak sedap hati.

Selepas Chot berbincang, dia melambai-lambai ke arah aku. "Bawak barang sekali"

Menurut laki lembut itu teksi di Pekeliling tu cekik darah. Dia memandu jalan ke tempat yang katanya boleh dapat teksi murah. Maksud aku menunjuk jalan. Memandu tu bukan merujuk kepada memandu kereta.

Aku tarik Chot dan separa bengang aku tak paham kenapa mesti orang tu yang Chot nak tanya. Kan ada orang lain?

Teksi pun sampai. Sebelum aku dan Chot masuk ke dalam teksi aku ucapkan terima kasih kepada orang itu.

"Pap" tiba-tiba dia peluk aku. "Doakan saya selamat sampai ke destinasi saya ye" dia berkata.

Peluh sejuk merembes deras.

Dari jauh Chot memandang aku dengan senyum sinis.

"Cilaka!!"

Monday, April 27, 2009

Hari yang Panjang

Hari ini merupakan hari terakhir aku study di meja ini.
Hari2 selepas ini aku akan isi dengan pengisian yang lain seperti menonton filem, memakan popcorn dan sesi karaoke secara individu. Ah senang cerita pengisian yang tidak melibatkan buku pelajaran.

Terasa macam baru semalam memulakan pengajian di sini. Pejam celik pejam celik sudah hampir empat tahun tanpa disedari kerana fizikal tidak langsung menunjukkan tanda2 penuaan dan kemurungan yang tak tentu pasal.

Memandangkan hari ini ialah hari terakhir pembelajaran kerana esok ialah kertas terakhir peperiksaan di sini, aku mahu study sehabis tekun yang tidak pernah aku aplikasikan sebelum ini.

Baiklah aku mahu mula study.


Tiba-tiba datang seekor setan memakan popcorn di sebelah aku. Bukan perli sesiapa ya. Memang betul-betul setan. Aku berasa sangat marah. Aku mengejar setan itu dan tanpa segan silu memberinya makan penampar. 

Duduk kembali mengadap buku.

Ah perut aku pulak yang lapar. Beli makanan dulu ah.
Siap makan. Mata mengantuk. Tidur dulu lah.
Bangun tidur sambung study.

Setan datang lagi. Dia mahu pinjam laptop. Nak main Facebook katanya.
"Gunalah. Jangan buat bising. Aku nak study"

Setan guna laptop sambil bising membuatkan mata aku skali terlekat pada Facebook.
"PAngg" setan sekali lagi termakan penampar.
"Jangan kacau aku. Aku nak study"

Setan datang lagi. Mintak nak dengar lagu.
"Boleh tapi pakai earphone. Duduk diam-diam."
Setan berkaraoke membuatkan aku terikut sama menyanyi.
Lagi sekali setan berdarah hidung.
"Kurang ajar."

Setan menangis2 sambil berlalu pergi.

Alamak, dah petang. kena turun padang main bola ni. Kalau jadi pandai tapi badan tak sihat pun tak guna jugak. Malam ni la baru study bersungguh-sungguh.






Woi setan! Bila plak aku terupdate blog ni! 
Malam nanti kalau datang lagi aku terajang laju-laju!

Thursday, April 23, 2009

Awas Perangkap HadLaju Mapley


"Aney..kira!"
*senyap*
"Tiga belas!"

"Kira lagi sekali"
*senyap*
"Sori macha, salah kira, sepuluh ringgit"

"Hang kira lagi sekali"
*senyap*
"Lapan ringgit cha.."

"Ok"

------------------------------------------------------------------------------------------------

"Bagi lauk ayam, kuah campur cukup"

"Ni kari kambing taknak try?"

"Takmau, aku tadak duit"

"Rasa la cha"

"Takmau ah..duit aku ngam2 ja sekarang nih"

"Sikit saja cha"

"Hah letak la..sikit sudah, berapa?"

"Sembilan, minum?"

"Air kosong sudah, cilakak!"

Friday, April 17, 2009

Betulkah kita boleh berdialog dengan Jin Islam? Macam tipu saja..

Tutt..tutt

Aku (A): Hello, boleh cakap dengan Najib?

Orang lain (OL): Ni siapa bercakap ya?

A: Ni kawan dia, Yop dari Kuantan.

OL: Baik, tunggu sebentar ya.

Najib (N): Hello.

A: Hello, weh knal tak aku sapa?

N: Siapa ni?

A: Membe sendri pun dah lupa ka? Ni Yop la..dari Gambang.

N: o0o Yop..apa kabar sekarang?

A: Kurang sihat la beb. Jiwa kacau sekarang.

N: Apa pasai? Cerit la sikit.

A: Ni haa..tempat aku blajar sekarang. Hang tau, masuk kali ni dah berapa ratus juta kali asyik problem tak ada air saja, dah la panas gila cuaca sekarang.

N: Bil tak bayar ke? Cuba kau call JBA.

A: Mana la aku tau. Ada dah orang followup kat JBA tadi. Masalah yang sama. Pam rosak la, air sungai cetek la..ada ka patut?

N: Tak patut tak patut.

A: Sekarang apa cita beb? Camna nak setel problem ni? Aku dah bengang tahap gaban. Tadi pagi aku pegi ofis nak check surat2 tiba2 ternampak pakatan awek2 jalan bawak tuala ke hulu ke hilir. Kan tak manis dipandang. Aku tak mandi tak kesah sangat. Awek2 tu camna? Aku tak sampai hati beb. Rasa nak carut2 pun dah ada tadi.

N: Rilek2 bro..aku try setel problem ni secepat mungkin. Kejadian camni memang memalukan. Dah la jadi kat negeri aku.

A: Ok bro, aku tunggu ja problem ni setel, hang buat la yang terbaik ok?

N: Ok bro. Nanti aku kontek Adnan Yaakob buat apa yang patut.

A: Tenkiu bro

Najib dalam cerita di atas

Friday, April 3, 2009

Siapa pernah belajar pencak Bruce Lee yang ada keluar naga kat belakang tu?

Ehem, sila baca sini.

Ni tak lain. Mesti kerja spesies macam Ahmad dalam Entri dua hari lepas.

Rugi aku tak jumpa Ahmad cepat-cepat. Boleh sepak perut dia laju-laju.

Aku dulu tingkatan tiga masih layan lagu Linkin Park dengan Limp Bizkit saja. Advance betul budak-budak sekarang.

Thursday, April 2, 2009

Orang Buat Rumah Juta-Juta tu agak-agak Macam Mana Bentuk Rumah Dia?

Aku dengan rumah taman memang tak pernah serasi. Saat pertama aku tahu adanya 'rumah taman' ialah semasa di darjah satu. Masa itu mungkin taman-taman perumahan dibangunkan secara besar-besaran di Alor Setar (nama terbaru bagi Alor Star menurut Afiq). 

Jadi ketika berdarjah satu semasa sesi perkenalkan diri secara tak formal dengan kawan-kawan di meja tepi depan belakang, kawan-kawan bertanya "hang dok kat taman mana?" Aku jadi buntu. Orang tinggal mestilah di dalam rumah. Mana ada orang tinggal di taman permainan atau taman bunga.

"Aku dok kat kampung."
"Kampung hang nama taman apa?"

Pastu semua kawan-kawan pun bercerita. Ada yang tinggal di Taman Nuri, Taman Uda dan macam-macam taman yang aku pun dah tak berapa ingat. Dah lama la katakan.

Semasa sekolah rendahlah aku mula mencerobohi kawasan taman perumahan yang sebenar. Itupun dengan bantuan abang aku melalui kabel-kabel dia(err..kawan dia). Itupun semata-mata untuk bermain buaian. Satu benda yang aku perasan pasal rumah taman ini ialah - bentuk rumah semua sama saja.

Ok cukup sesi berkenalan dengan rumah taman.

Memandangkan aku berasal dari sekolah campur, campur latarbelakang maksud aku. Itu pun sebab budak-budak paling comel di seluruh negeri di Malaysia disatukan di sekolah aku. Jadi aku memiliki kawan dari Alor Setar yang agak terhad. Jadi masa aku di tingkatan empat aku baru berkenalan dengan sorang kawan aku yang bernama Syapik yang tinggal di sebuah taman perumahan di Alor Setar.

Masuk saja cuti sekolah aku dah berkobar-kobar nak merantau ke seluruh pelosok dunia. Nak-nak masa tu siapa yang dah ada lesen moto memang berhak menayangkan lesen secara besar-besaran. Gaya paling in masa itu ialah gaya 'Lesen Melompat Sendiri Dari Wallet'. 

Aku pun capai helmet Apollo kakak aku, hidup moto ex5 yang tersadai di rumah untuk ke rumah Syapik. Niat aku nak ajak dia merayau saja sebab dia pun mungkin dah bosan dengan trick lesen melompat aku.

Jadi aku pun peras minyak kuat-kuat. Berhenti isi minyak. Peras minyak kuat-kuat semula.
Ya rumah dia memang agak jauh dari rumah aku.
Sampai saja di taman perumahan aku dah jadi cuak. Dasar buta jalan memang takkan jumpa jalan walaupun masa tu aku pernah ke rumah Syapik 2-3 kali.

Masuk simpang, sekolah cina. Keluar simpang, masjid. Gila. Mana rumah dia? Semua rumah seakan-akan sama.

Selepas berpuluh minit dan berpecah peluh akhirnya aku sampai di depan rumah Syapik.

"Syapik..oo00ooo0 Syapik" - panggilan tipikal budak sekolah.
"Syapikkkk ooo000 Syapikkk" - dah mula keras.
Cilaka..Mana dia ni. Silap aku jugak tak kontek dulu sebelum datang.

"Syapik oiiiiiiiii"
"OOiiiii Syapikkkk"

Seorang makcik menyelak daun pintu. Memandang aku dengan senyum lebar.
Ni mesti mak dia. Dah cam muka aku pun. Haha.
Aku balas senyum.

"Makcik, Syapik ada kat rumah tak?"

Makcik tu senyum lagi. Mungkin tak dengar soalan aku tadi.

Aku tunggu sampai dia betul-betul sampai kat pagar. Kan tak sopan menjerit-jerit depan orang tua?

"Syapik ada kat rumah tak makcik?"

Senyum lagi.

Aku dah rasa lain macam. Peluh sejuk keluar.
Dalam kepala tak lain dah. Terkeluar semua cerita bunian yang aku dengar sebelum tu.

"Mana ada orang nama Syapik tinggal kat si--"

Belum makcik tu habis cakap aku dah ada kat atas moto. Peras minyak paling kuat yang boleh.

Cilakak. Salah rumah!

Wednesday, April 1, 2009

SMS Pelik 2

Budak Hingusan (BH): Hye, boleh kenalan?

Aku (A): Boleh ja, siapa ni?

BH: Ni Ahmad dari Ipoh. Nama u? u kat mana tu?

A: Owh, ni Tasya. Kat Kuantan skang. Camna bleh dapat nombor ni?

BH: Kawan kasi. Dia cakap u orang Ipoh.

A: Aah, orang Ipoh tapi skang tengah makan angin kat Kuantan. Umur u brapa?

BH: 15. Umur u?

A: Owh, tahun ni PMR la ye? Dah stadi ke? I umur 14. I kena panggil u abang la ye?

BH: Panggil Ahmad je pun boleh. Panggil abang pun boleh. Panggil abang la sedap sikit.

A: Iya la abang. Bla bla bla..

Selang beberapa jam.

BH: Bila ye abang boleh jumpa Tasya ni?

A: Bila-bila pun boleh. Tapi kena tunggu Tasya balik dari Kuantan la.

BH: Berapa lama lagi kat sana ye? Abang nak tepon Tasya kejap boleh?

A: Boleh ja. Topup la banyak2. Senang kita nak gayut lama2. hikhik

Selang beberapa puluh minit.

Tuuttt..

BH: Hello Tasya. Abang ni.

A: Hello (suara paling garau)

BH: Ek, boleh saya cakap dengan Tasya?

A: Salah nombor. 

Kepada adik2 desperado di luar sana, sila jangan percaya nombor yang dibagi oleh kawan anda. You may hurt yourself.

Monday, March 30, 2009

Catatan Seorang Yang BiziBodi

Kehidupan seminggu yang tak best.
Kerja. Kerja. Tengok movie. Kerja.
Tenet slow. Earth Hour. Tenet slow.

Entri ni pun aku buat di komputer lab yang sememangnya bohsia sebab siapa2 pun boleh pakai. Siapa2 pun boleh update blog dan layan friendster. Hmm...facebook juga.

Selama ini aku memang malas ambik berat tentang hal yang jadi di sekeliling.
Nampak awek cun selisih jalan, "fuyoh, awek." Cerita tamat. Itu saja.
Jadi kehidupan yang agak teruk membelenggu seminggu ni aku cuba sedaya upaya mengisi dengan benda yang bermanfaat.

Hari sabtu aku tiba2 terasa ringan kaki nak ke Kuantan. Sendirian. Bukan tengok jomheboh okeh!
Untuk julung2 kalinya aku menjadi sangat bizibodi tentang perawakan dan pemakaian orang ramai.

Tak, aku bukan pengkritik. Aku cuma pemerhati.

Seorang budak laki lingkungan umur 13-14 tahun memakai baju 'Saya Mahu Couple' berjalan bersama2 kawan2 yang juga dalam lingkungan umur tersebut. Aku yakin 'Couple' di baju itu bukanlah 'Band Couple' itu. Hoh budak2 sekarang, misai belum berputik, belum tahu kesengsaraan belajar add math sudah berani menonjolkan sifat desperado pada baju. Indie sangat la tu?

Seorang gadis memakai baju "Saya Sayang Emak Saya' sedang berjalan dengan seorang mat rempit yang bermuka pecah. Owh. Menantu pilihan emak barangkali ya?

Dan terakhir mat rempit membawa motosikal dengan terlekat sticker 'Don't Trust Girl' pada helmet sambil membonceng seorang awek.

Tak, aku bukan pengkritik. Aku pemerhati.

Memang kalau kau nak pakai baju apa pun tak la sampai menjejaskan kesuburan aku pun.

Dua tiga menjak ini rutin setiap hari bila celik saja mata aku akan on laptop. Check email memandangkan application latihan industri aku belum ada reply dari mana2 syarikat.
Tiba2 aku terbaca 'XXX click YES on you' di sebuah laman social networking.

Bila aku bukak profile dia tertulis shoutout 'AKU TAK PERLUKAN PERMISSION DARI SESIAPA UNTUK BUAT KEPUTUSAN. ITU HAK AKU!'.

Ek eleh. Tiba2 saja.
"Apa kau pikir dengan menjadi budak emo begitu kau menjadi lebih stylo dan menarik? Hell NO!"

Aku bukan pengkritik. Aku cuma pemerhati.

Saturday, March 28, 2009

Eleh, bukan susah pun~


Aku dah berjaya menyambut cabaran ni!
Tutup lampu saja kan?
Bagus, dilaporkan sekangkang kera air di kutub utara sudah beku akibat penutupan lampu secara besar2an di seluruh dunia.

Bila nak ulang lagi?

Monday, March 23, 2009

Dia-lah Jack Sparrow itu

Pernah tak kamu semua mendengar cerita tentang Dr Jekyll and Mr Hyde?

Ataupun menonton filem Me, myself and Irene? Atau filem Hide and Seek?

Kalau pernah, apa persamaan antara cerita2 itu?

Ya betul tentang split personality. Tentang ada dua jiwa dalam 1 jasad.

Semasa aku di bangku sekolah rendah, aku pernah mengalami pengalaman pelik, mungkin mengigau tapi aku pun tak pasti.

Kejadian pertama.
Malam itu aku sedang nyenyak tidur di bilik yang berada di tingkat atas. Bila aku sedar, aku sedang berada di dalam tandas tingkat bawah, sedang buang air. Bukan mimpi kencing di bilik air tapi sebenarnya kencing kat atas tilam tau. Betul2 dalam bilik air.

Kejadian kedua.
Juga sedang tidur nyenyak. Bila aku terjaga aku di pintu rumah, sedang menggapai selak pintu yang tinggi untuk keluar rumah.

Kalau tidur berjalan macam tak logik pulak. Nak buang air mungkin terlepas kat dapur ke, peti ais ke..kan? Ni tepat pulak dalam tandas.

Jadi aku rasa mungkin wujud 'Yop 2'. Tak sedap nama tu. Panggil dia Jack ya.

Selepas kejadian itu aku dah tak pernah mengalami kejadian yang sama. Cuma peristiwa aku memaki orang ketika tidur di asrama sekolah menengah. Itu mengigau. Aku yakin.

Malam tadi Jack datang lagi. Menurut rumate aku, Jack itu ketawa terbahak2 hingga membuatkan beliau menjadi cuak.

Ini berita gembira.

Jack, tolong buatkan PSM aku sampai habis. Aku nak tidur!


Nota sendiri tambah:

Aku pernah terbaca 1 artikel yang mengatakan orang yang kurang tidur akan mengalami halusinasi. Contohnya boleh melihat hantu.

Mari. Siapa mahu tengok hantu dengan aku?

Tuesday, March 17, 2009

Bertukar Warna, Bertukar Corak.

Ini bukan entri berunsur politik. Bukan.

Sebelum pilihanraya itu hari, ada 1 parti itu berjanji untuk memajukan pertanian di negeri tanah tumpahnya darahku, negeri Kedah Darul Aman.

Katanya untuk menjadikan Kedah sebagai 'Belanda' Malaysia.

Aku tak ambik port pun sebenarnya isu pertanian di Kedah kerana aku tidak mempunyai sawah padi. Bapak aku juga tidak punya itu. Senang cerita memang famili aku tidak punya sawah padi. Tapi satu benda saja aku concern.

Err.. agak2 nama aku kena tukar kepada Ilyas van Zubir tak?

Friday, March 13, 2009

Saat Pertama Aku Berkenalan dengan Spagetti

Pukul 10.30 malam. Siren berbunyi menandakan tamatnya waktu kelas prep malam.
Tidak seperti malam2 sebelumnya yang biasanya aku meluru ke kafe Kak Mie sebelum tamat waktu prep dan dicubit tetek oleh Pak Hasan ketua warden, malam itu aku keluar selepas pukul 10.30.

Sampai di kafe seperti yang dijangka orang berpusu-pusu beli mee goreng seperti pelarian somalia yang dah berapa hari tak jumpa makanan. Aku pasrah.
Naik semula ke tangga untuk ke dewan selera a.k.a dewan makan sekolah. Makan free ja la..tak payah keluar duit. Tak payah nak bertolak2 macam kat kafe.

Nasib kurang baik. Malam itu makan biskut. Cis patutla ramai ja kat kafe tadi.
Selesai makan biskut beberapa keping dengan air tipikal teh o panas aku kembali ke kelas.
Zaman itu budak2 form 5 boleh sambung stadi di kelas sampai pukul 12 sebab kalau di asrama tepat pukul 11.15 dah kena light-off.

Balik ja dari kelas perut aku dah meragam mintak nak isi lagi. Aku bukanlah jenis pelajar yang asal outing beli makanan sekapal pastu isi dalam locker penuh2.
Locker aku kosong. Memang tak ada makanan. Jadi kepada kawan2lah tempat aku mengadu.
Masuk dari bilik ke bilik tanya sesiapa yang punya maggi lebih dan sudi menderma kepada aku.
Sungguh malang. Semua bekalan maggi kawan2 dah out of stock.

Sampai di bilik Rizal dia sound:
"Dalam locker aku tu ada spagetti. Ambik la kalau nak"
Sebelum hari itu aku tak pernah tengok rupabentuk spagetti tu macam mana. Apatah lagi nak makan. Mahu tak mahu aku sebat jugak la spagetti tu. Kebulur punya pasal.
Oh ini rupanya spagetti. Peliknya. Macam lidi panjang2.
Aku bukak plastik. Ambik sebatang. Gigit sikit2 dan pelan2.

"Oi apa tak sedap pon spagetti ni? Macam makan beras ja?"

Thursday, March 12, 2009

Petanque?

Petanque ialah satu permainan yang mungkin baru di Malaysia tetapi ia telah dimainkan di Perancis lebih berabad lamanya.
Petanque biasanya dimainkan di atas gelanggang pasir. Tidak pernah dibuat orang di mana2 negara untuk bermain di atas simen atau di atas mozek kerana bola petanque atau dipanggil 'boule' itu agak berat dan mungkin boleh merosakkan lantai tersebut.

Untuk mengetahui peraturan dan cara permainan permainan ini sila google sendiri.

Satu hari seorang bijak pandai secara tidak sengaja duduk di sebelah aku dan secara tiba2 terkeluar topik tentang petanque.
Hari itu aku mengetahui asal usul permainan itu walaupun aku masih belum mengerti sepenuhnya peraturan yang ada dalam permainan Petanque.

Sebelum pendudukan atau penjajahan Portugis di Melaka pada tahun 1511, penduduk Melaka sebenarnya telah lama maju. Maju dalam konteks ini bukan sahaja maju dalam sistem pentadbiran atau perdagangan, bahkan dari segi permainan.

Dalam buku teks sejarah ada tercatat sukan sepak takraw berasal dari Tanah Melayu walaupun kini setiap tahun sukan ini dipelopori oleh Thailand. Sukan-sukan lain seperti congkak, konda-kondi dan batu seremban turut dikaitkan walaupun ada yang mengatakan sukan atau permainan ini adalah pengaruh dari Indonesia yang dibawa masuk ke Melaka. Apapun tidak dapat dipastikan kesahihan fakta tersebut.

Begitu juga petanque. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka permainan guli telah lama dimainkan. Ada riwayat yang tidak dapat dipastikan sumbernya menulis mengenai kegiatan pedagang yang tiba di Melaka. Ada yang berdagang, menyebarkan agama, mencari rempah ratus, dan bermain guli.

Satu hari telah datang pedagang dari Perancis yang tertarik dengan permainan guli. Pada zaman itu guli dimainkan dalam pelbagai cara. Cara yang paling in pada zaman itu ialah permainan guli kejar atau bahasa Kedahnya - guli ligan. Jika anda ialah kanak2 kampung seperti aku pasti sedia maklum akan permainan ini. Kalau yang duduk di bandar dan sejak kecik sudah bermain microgenius atau 'game kartrij' anda mungkin tidak tahu.

Jadi akibat sifat ingin tahu yang mendalam, pedagang ini telah berjumpa dengan salah seorang pemain guli yang kebetulan sedang sibuk menang besar dan tidak ada masa melayan pertanyaan pedagang itu.

Oh ya. Pada zaman itu bahasa Melayu adalah lingua franca dan bukannya bahasa Malaysia kerana zaman itu Malaysia belum wujud. Pedagang Perancis pun bertanya dalam bahasa Melayu yang kurang fasih.

"Apa nama peghmainan ini? (mengikut loghat Perancis)"
"Nak main ke? Datang esok la. Petang tau. Petang" jawab pemain guli.
"oh rupanya ini ialah permainan 'Petang' " kata pedagang di dalam hati.

Apabila beliau pulang ke Perancis, beliau memperkenalkan permainan 'Petang' di seluruh Perancis. Kebetulan pada zaman itu berlaku Revolusi Perindustrian, 'guli' diperbuat dari besi memandangkan bekalan besi yang bersepah2 di sana. Dan di sana mereka memanggilnya 'buli' dan bukan 'guli'.

Begitulah adanya peristiwa permainan petanque. Pada hari ini permainan 'Petang' itu dikenali sebagai 'Petanque' dan 'buli' ditukar kepada 'boule' setelah diterapkan bahasa Perancis yang pekat.

Sekian.


Dari kiri: Jack, Boule, Boule

Nota sendiri tambah:

1) Pedagang itu belajar bahasa Melayu untuk belajar bermain guli. Ok tu cerita rekaan. Jangan ambik serius.

2) Semasa Perang Salib (Crusade War), ramai Ilmuan Islam terbunuh dan buku-buku mengenai ilmu pengetahuan telah dirampas oleh tentera kafir. Buku-buku itu kebanyakannya ditulis dalam bahasa Arab. Bagaimana ilmuan barat dapat mencilok ilmu2 dari buku ini tanpa mempelajari bahasa Arab terlebih dahulu?

Para pemikir sekalian, do u see my point?

Wednesday, March 11, 2009

Tuah Ayam Nampak di Kaki

Malam itu beliau sendirian. Tanpa ditemani sesiapa. Di dalam makmal. Malam itu Chot 'Lelaki-tak takut-hantu' tiada di situ. Yang menemaninya hanyalah bakteria yang diternaknya selama ini. Begitulah rutinnya setiap hari. Pagi bagi bakteria makan dan malamnya mengira bilangan bakteria yang telah membiak.

Tapi malam itu pelik. Malang buat dirinya. Lebih malang lagi beliau tak dapat jerit 'Uncle, tolong' seperti dalam rancangan Seekers.

"Aik, kenapa pulak bakteria ni berkurang dari semalam?"

Esoknya beliau memberi makanan sebanyak-banyaknya kepada bakteria itu supaya dapat membiak dengan cepat sebelum pembentangan PSM yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Malam itu. Sekali lagi misteri mendatang.
"Kurang lagi. Dah rosak ke mesin ni? Esok kena buat report ni"

Setelah dikaji ternyata tiada masalah pada mesin pengira bakteria itu.
Malamnya beliau terkejut lagi.
Semua bakteria yang diternaknya sejak 3 bulan yang lalu lesap.
Tidak tersisa 1 ekor pun.

Malang bagi dirinya. Pembentangan PSM cuma tinggal lagi seminggu. Nak ternak semula pun dah tak sempat.

Mahu tak mahu beliau terpaksa juga berlaku jujur tanpa menipu data untuk lulus dalam PSMnya.
Setelah dipaku bertalu2 oleh panel yang biasanya kejam di medan pembentangan akhirnya beliau akur.

PSMnya gagal.

Sangat kecewa. Itulah yang dirasainya. 3 bulan terbuang tanpa ada apa2 hasil.

Beliau masuk semula ke dalam makmal. Mahu dilemparnya piring-piring petri biarpun selepas itu beliau terpaksa mengisi borang kerosakan makmal dan mungkin terpaksa membayar gantirugi.

Tapi tidak terjadi semua itu.

"Apa benda pulak yang ada dalam ni? Pelik ja bentuknya"

Beliau terus berkejar ke mikroskop berhampiran untuk melihat bakteria baru di dalam piring petri itu.

"Tak pernah jumpa pulak bakteria bentuk macam ni"

Ambik secubit. Dimasukkan ke dalam piring petri kawannya.
Pelik. Semua bakteria kawannya turut musnah sama sekali.

Beliau gembira. Dicubanya pada bakteria merbahaya lainnya. Semua musnah!
Terkocoh-kocoh beliau menulis dalam buku log mengenai data dan pemerhatian ujikaji main2 tersebut dengan pensel yang dijumpai di dalam makmal itu.
Pensel itu tertulis 'Pensel Lin - Malaysia'

Kerana tidak faham bahasa Malaysia beliau menamakan bakteria ajaib itu sebagai 'Pensellin'

Data ujikaji itu dibawa ke semua konvensyen yang dihadirinya dan akhirnya beliau berjaya menggondol Hadiah Nobel atau Nobel Prize kerana telah menjumpai bakteria 'Pensellin' atau dikenali sebagai 'Penicillin' hari ini yang digunakan di dalam antibiotik.


Sir Alexander Fleming (1881-1955)
Saintis yang telah memenangi Hadiah Nobel kerana berjaya menemui Penicillin

Thursday, March 5, 2009

Akak Kedai Runcit yang Pemalas

Baru2 ini aku ada membeli belah di kedai runcit di kawasan perumahan aku.
Biasanya aku akan keluar ke Gambang kalau mahu membeli barang. Hatta gula2 sekalipun.
Hari itu aku malas. Tapi aku berjaya menjumpai orang yang lebih malas dari aku.

"Seringgit 90 sen"

aku hulur RM2. Letak atas meja sebab dia terlalu malas nak hulurkan tangan sambut duit aku.

"nak jugak ke seploh sen?"

Cilaka. Hang nak keja ka takmau?